Dunia Bahasa

www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

KSSR BAHASA MALAYSIA TAHUN 2

RUPA BENTUK KURIKULUM ABAD KE 21
  
PENGENALAN
Kurikulum adalah ‘core’ kepada ‘business’ pendidikan. Ia merupakan satu rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma serta unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahli dari satu generasi kepada satu generasi lain. Rancangan pendidikan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan individu dan engara. Dalam Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) kedua-dua keperluan dihuraikan seperti berikut :
 " Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan murid yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi serta menyemai, menanam dan memupuk nilai-nilai akhlak yang diingini, di samping menyampaikan ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum itu juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mweujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara. "
[ Laporan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) ]

Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang.
Pembangunan tenaga manusia dan tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan dan pembekalan tenaga pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja. Y.A.B. Perdana Menteri telah menghuraikan bentuk, corak dan tumpuan yang perlu dilakukan.
 "Kita mestilah mempunyai hasrat untuk mencapai taraf yang setinggi-tingginya dari segi ketrampilan pada rakyat kita, dari segi penghargaan mereka akan kemahiran dan pengetahuan serta kemajuan diri, dari segi kemampuan diri, dari segi kemampuan berbahasa, dari segi sikap mereka terhadap kerja dan disiplin, dari segi motivasi mereka terhadap kecemerlangan dan terhadap mendorongkan semangat keusahawanan".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
  "Kita mestilah memastikan bahawa terdapat satu adunan yang seimbang antara golongan profesional, separa-profesional dan ahli ketukangan, selain terdapatnya imbangan yang wajar antara orang-orang mempunyai kemahiran dalam bidang sains dan teknologi, sastera dan ilmu-ilmu sosial".
[ Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21 ]
Kurikulum bagi abad ke 21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan (dictated) oleh senario yang dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad ke 21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke 21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.





FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM
Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
  • kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
  • kemahiran berkomunikasi secara berkesan
  • kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
  • kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
  • kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
  • kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
  • kemahiran kepimpinan dan pengurusan

Di dalam usaha ini kurikulum perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :
(a) Pembelajaran Koperatif
Kurikulum berkisar dalam bentuk tugasan, permasalahan dan projek yang dijalankan oleh pelajar dalam kumpulan yang mengandungi berbagai tahap kebolehan. Penglibatan diri dalam kemahiran ‘interpersonal’ merangkumi kemahiran membuat keputusan, mengendalikan konflik dan mengekalkan hubungan baik antara ahli kumpulan.
(b) Berfikir Secara Kritis dan Reflektif
Fokus aktiviti kurikulum kepada kebolehan membuat pilihan dan keputusan berlandaskan sebab-sebab yang rasional serta justifikasi. Minda yang kritis berupaya mengenal pasti andaian-andaian, idea, pandangan membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik atau penghasilan produk baru.


(c) Pengembangan Kreativiti
Kurikulum perlu banyak menonjolkan aktiviti-aktiviti yang kreatif termasuklah berfikir secara logik, membina daya imaginasi dan boleh memberi pandangan. Kreativiti-kreativiti dapat dipupuk apabila individu tersebut diberi galakan.
(d) Kemahiran Generik
Kemahiran-kemahiran generik bolehguna dapat menyediakan tenaga pekerja yang mahir, cekap dan berketrampilan di tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketrampilan menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai kepakaran akan begitu mobile dan kerap bertukar kerja. Penguasaan kemahiran generik memberi peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam bidang yang berlainan.
(e) ‘Multilinggualism’
Arus globalisasi dan ledakan maklumat memerlukan kebolehan pelbagai bahasa untuk Rakyat Malaysia perlu menguasai dua bahasa atau lebih (selain daripada Bahasa Melayu) supaya boleh berkomunikasi dengan berkesan, dan berupaya menggunakan segala maklumat dalam pelbagai bahasa.
(f) Patriotisme dan Ketatanegaraan
Kesinambungan pembinaan semangat patriotisme dan identiti kebangsaan dilanjutkan. Kebudayaan nasional, ideologi dan aspirasi nasional akan dapat mengukuhkan lagi identiti kebangsaan dan membentuk bangsa Malaysia yang berwibawa dan bermoral tinggi.
(g) Penghayatan Nilai-Nilai Murni
Pemupukan dan penghayatan nilai murni masyarakat Malaysia dilanjutkan di samping nilai-nilai baru masyarakat moden. Hanya insan baik, beradab dan bermoral tinggi mampu menguasai ilmu-ilmu baru tanpa mengorbankan agama, akhlak dan kebudayaan bangsa. Insan baik, sedar insaf bahawa ia perlu menguasai ilmu bagi melaksanakan tugas terhadap dirinya, Tuhan, keluarga dan masyarakat manusia serta alam sekelilingnya.
(h) Pelbagai Kecerdasan
Setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolahan yang berbagai. Kesemua potensi seperti yang disarankan dalam teori Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences) iaitu verbal-linguistik, logiko-matematik, muzik, spatial, bodily-kinesthetic, inter-personal, dan intrapersonal diberi tumpuan. Ini dapat melahirkan individu yang holistik dan seimbang.
(i) Kemahiran Belajar Untuk Belajar
Kemahiran belajar diajar seiringan dan disepadukan dengan pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Kemahiran membaca pantas, mencari dan memilih maklumat, merujuk, membuat nota, menulis ringkasan, bercakap di khalayak ramai dan sebagainya diberi penekanan dan disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


ORGANISASI KURIKULUM
Pendidikan Prasekolah
Penekanan kurikulum kepada kemahiran dan pengetahuan, di samping menurut 'graded objectives' (konsep Mastery Learning) dan 'activity-based'. Program yang anjal, (flexible) dan tidak formal. Proses pembelajaran secara tidak formal melalui konsep bermain sambil belajar. Bermain-menjalankan aktiviti secara terancang dan tidak terancang (bebas) mengikut objektif yang disarankan dalam garis kurikulum. Pembelajaran berlaku semasa aktiviti dijalankan sama ada dalam bentuk pengalaman, hasil kerja dan lain-lain. Penekanan kesediaan yang kukuh bagi kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) melalui bermain. Ini merupakan kesediaan bagi kanak-kanak yang akan menghadapi ujian diagnostik pada tahun 3 (program Lompat Kelas). Kawalan harus dititikberatkan supaya guru tidak mengajar 3M 'right away'.
Perlunya ada kesinambungan prasekolah- tahun 1 dijalankan agar pengalaman prasekolah tidak disia-siakan di tahun 1. Kemahiran yang telah dikuasai oleh kanak-kanak prasekolah patut disambung di tahun 1, serta diulang dan dipulihkan pada tahun 1 jika kanak-kanak tidak menguasainya. Bagi mereka yang telah bersedia, pengukuhan dijalankan untuk mengayakan pengalaman mereka di samping mengurangkan kebosanan mempelajari perkara yang sama.
Pendidikan Rendah
Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5 hingga 7 tahun. Keanjalan tempoh belajarnya ini memungkinkan kanak-kanak cerdas pintar menamatkan pendidikan rendah dalam tempoh 5 tahun dan kanak-kanak yang kurang berkeupayaan dalam tempoh 7 tahun. Walau bagaimanapun, umumnya, tempoh pendidikan rendah adalah 6 tahun.
Matlamat
Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi kanak-kanak secara bersepadu, menyeluruh dan seimbang. Aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani diperkembang ke arah melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia.
Struktur Organisasi
Struktur organisasi kurikulum mengandungi komponen-komponen yang membantu perkembangan kanak-kanak secara bersepadu. Komponen-komponen yang dicadangkan ialah :
  • Komunikasi
  • Matematik, sains dan teknologi
  • Kerohanian, nilai dan sikap
  • Kemanusiaan dan kesenian
  • Perkembangan diri
  • Kokurikulum
     i.        Komunikasi
Fokus utama kurikulum merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Ketrampilan berbahasa seperti bertutur, membaca dan menulis dengan berkesan ditekankan terutama dalam bahasa pengantar sekolah (Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil). Kemahiran-kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil juga diberi penekanan.
(ii) Matematik, Sains dan Teknologi
Berfokus kepada kemahiran asas-asas operasi matematik, kemahiran proses sains dan teknologi penguasaan pengetahuan asas diberi perhatian.
(iii) Kerohanian, Nilai dan Sikap
Tumpuan kepada pemupukan sikap dan nilai murni masyarakat. Pengetahuan dan amalan agama Islam dilanjutkan seperti sedia kala.
(iv) Kemanusiaan dan Kesenian
Ilmu pegetahuan tentang kemasyarakatan dan kemanusiaan setempat dan global didedahkan. Melalui kesenian kreativiti bakat dan daya appresiasi dipupuk.
(v) Perkembangan Diri
Merangkumi perkembangan jasmani dan kesihatan dan mental. Perkembangan mental seperti pemikiran kritis, menyelesai masalah dan membuat keputusan gaya kehidupan yang sihat merentas kurikulum.
(vi) Kokurikulum
Lanjutan kepada kurikulum bilik darjah, dalam bentuk pelbagai aktiviti. Keigatan-kegiatan persatuan, sukan dan pasukan pakaian seragam dilanjutkan.
Oleh kerana tempoh persekolahan lebih anjal, dicadangkan supaya kandungan kurikulum dipertingkatkan mengikut kebolehan dan keupayaan pelajar seperti berikut :
Peringkat Asas : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan lemah]
Peringkat Umum : [untuk semua dan dikhususkan kepada kumpulan sederhana]
Peringkat Tinggi : [untuk kumpulan cerdas pintar sahaja] (advances)

Pendidikan Menengah
Pendidikan di peringkat ini diberi dalam jangkamasa lima tahun. Pelajar diberi peluang bersekolah sehingga mereka berumur 17 tahun supaya lebih bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan. Ia memberi peluang murid-murid mengikuti beberapa jenis kursus agar dalam tahun-tahun kesepuluh mereka boleh belajar berdasarkan bakat dan kemampuan serta menentukan bidang pekerjaannya untuk masa depan.
Matlamat
Matlamat pendidikan menengah adalah untuk memperkembangkan potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan insan yang seimbang, berakhlak mulia dan berketrampilan untuk pembangunan negara.
Struktur Organisasi
Kurikulum peringkat menengah digubal tiga peringkat iaitu :
Kursus Peringkat Asas :
  • Mengembangkan kemahiran untuk kehidupan positif dan produktif
  • Mengajar mata pelajaran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan
Kursus Peringkat Umum
  • Mengembangkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran peribadi dan aplikasi praktikal
  • Mengajar kemahiran akademik dan kemahiran sehubungan untuk alam pekerjaan taupun untuk melanjutkan program pendidikan di peringkat maktab/politeknik
 Kursus Peringkat Tinggi
  • Mengembangkan kefahaman tentang prinsip, teori, aplikasi praktikal dan isi kandungan kursus pengajian
  • Mengajar kefahaman akademik untuk kemasukan institusi pengajian tinggi
Kursus-kursus pengajian dibahagikan kepada dua kumpulan
 1. Kumpulan Teras
  • Komunikasi
  • Matematik, sains dan teknologi
  • Kerohanian, nilai dan sikap
  • Perkembangan diri
 2. Kumpulan Elektif
 Pelbagai mata pelajaran elektif ke arah pengkhususan ataupun alam pekerjaan.

PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.
Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multi media, cakera padat dan lebuh raya maklumat seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke 21 dibantu sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar.
(a) Teknologi Maklumat/Komputer
Dalam konteks pendidkkan, teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat seperti INTERNET atau MULTIMEDIA atau HYPERMEDIA untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan manusia berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan lebih canggih sama ada dalam bentuk data teks, imej atau suara.
Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer berupaya meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah.
Penggunaan multimedia seperti CD-ROM dapat membantu meningkatkan penguasaan pelajar dalam pembelajaran. Ini kerana sesebuah CD-ROM mampu menyimpan lebih kurang 20 buah ensklopedia yang tebal. Malah penggunaan CD-ROM dalam menggalakkan pelajar lebih berdikari untuk memperolehi ilmu.
Semua sekolah di Malaysia akan dihubungkan antara satu sama lain melalui JARING dan seterusnya INTERNET. Pelajar kita akan tergolong dalam 'global classroom'. Mereka berpeluang bersidang dan bertukar pendapat tentang apa sahaja dengan rakan mereka di sekolah lain malah dengan pelajar lain di seluruh dunia.
Dalam era ledakan maklumat dan timbunan ilmu, pengunaan teknologi komputer menyemarakkan pelajar menyusun maklumat dan pada masa yang sama mencari suatu fakta spesifik secara efektif dan pantas.

(b) Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21 masih tetap berpusatkan pelajar. Malah ia perlu dipertingkatkan daripada apa yang diamalkan sekarang. Guru memainkan peranan lebih penting kepada pelajar dengan melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti sama ada di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai pemudah (fasilitator) pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal maklumat.
Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi membina dan mengukuhkan minat murid terhadap pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan berupaya untuk meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika itu perlu dilatih untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa tanggungjawab.
Dalam rangka pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, tenaga pengajar/guru di sesebuah bilik darjah sekurang-kurangnya terdiri daripada seorang guru dan seorang pembantu guru untuk membimbing pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas dengan dua orang guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat dan mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
(c) Pendidikan Jarak Jauh
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan inovasi kreatif dalam pendidikan diri abad ke 20 ke abad ke 21. Peluasan PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat rendah lagi tidak sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira faktor-faktor berikut :
  • Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari seminggu)
  • Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
  • Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
  • Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
  • Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui struktur modular
  • Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi objektif yang jelas, alat ujian kendiri, aktiviti pembelajaran dan maklum balas pelajar.

(d) Pendekatan Modular
Pendekatan secara modular berperingkat kesukaran bagi setiap tajuk disediakan dalam bentuk bercetak dan/atau CD-ROM untuk satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan untuk semua mata pelajaran di semua peringkat persekolahan.
Pelajar boleh beralih ke modul berikutnya apabila selesai menggunakan modul yang disediakan tanpa menunggu arahan guru. Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi pengajian tinggi tempatan. Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan pelajar.
(e) Mastery Learning
Pendekatan pembelajaran berfokus kepada penguasaan pelajar terhadap sesuatu perkara yang diajarkan kepada mereka. Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian diagnostik. Tindakan susulan diberikan kepada mereka yang belum menguasai supaya kelemahan mereka tidak terhimpun di akhir setiap pembelajaran.
(f) 'Tracking' dan 'Banding'
Bergantung kepada tahap penguasaan pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam beberapa kumpulan sama ada kumpulan asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan maju (advance). Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan 'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik Tahun 2.
(g) Sistem Kredit
Unit kredit adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang diperlukan oleh pelajar untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah ditetapkan bagi setiap kursus pengajian. Kerja-kerja kursus ini termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja makmal dan amali. Pelajar dibenarkan mengulang mata-mata pelajaran yang tidak mencapai asas yang ditetapkan.



PENILAIAN
Aspek penilaian kemajuan pelajar adalah penting untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan keupayaan pelajar.
(a) Penilaian Berasaskan Sekolah
Sekolah terus diberi mandat untuk mengendalikan penilaiannya sendiri. Ini memandangkan hanya pihak sekolah sahaja yang tahu tahap pencapaian muridnya. Pelajar dinilai mengikut tahap masing-masing. Pelajar cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi manakala pelajar yang sederhana dan lemah diberi tindakan susulan melalui program pemulihan dan pengayaan.
(b) Penilaian Berterusan
Penilaian berterusan dijalankan untuk mempastikan pelajar benar-benar sudah menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dikehendaki (mastery learning). Penilaian berterusan dapat mengenal pasti tahap penguasaan pelajar supaya kelemahan pelajar diatasi dan tidak terhimpun sehingga akhir pembelajaran.
(c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
Setiap subjek (mata pelajaran) mengandungi pelbagai elemen, selain daripada pengetahuan dan kemahiran. Elemen-elemen sesuatu subjek perlu diberi penekanan untuk menilai sama ada pelajar benar-benar mengetahui dan menguasai subjeknya. Misalnya dalam subjek Pengajian Kejuruteraan Awam, elemen-elemen seperti kebolehan berkomunikasi, kebolehan mereka (design), kebolehan praktik, kebolehan menyiasat, kebolehan mengurus dan kebolehan membuat anggaran dinilai bersama dengan pengetahuan.
(d) Penilaian Proses Di Samping Penilaian Hasil
Proses yang diambil untuk menghasilkan sesuatu projek perlulah dinilai. Sekarang ini penilaian hanya dibuat apabila projek itu siap tanpa mengambilkira prosesnya. Sebagai contoh jika seseorang murid dikehendaki membuat praktikal di sesebuah kilang sebagai penyelia, guru perlu membuat penilaian dari hari pertama hinggalah tamat tempoh praktikalnya. Alat penilaian perlulah dibuat mengikut situasi, tugasan dan bidang yang dinilai.
(e) 'Authentic Assessment'
'Authentic Assessment' bermaksud murid-murid dinilai mengikut perilaku yang dikehendaki oleh guru. Murid-murid telah tahu apa yang dikehendaki daripada mereka dan bagaimana mereka akan dinilai. Penilaian ini menonjolkan kekuatan murid-murid dan intergrasi antara pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dari pelbagai sumber. Satu penilaian individu dan rakan sebaya menggunakan folio, ujian amali dan penilaian berasaskan prestasi menggunakan faktor, konsep, pengetahuan dan kemahiran berfikir yang tinggi.
(f) Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
Hasil pembelajaran adalah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang boleh diukur ataupun diperhatikan seperti yang telah ditetapkan pada sesuatu peringkat persekolah/pembelajaran. Hasil pembelajaran menerangkan tahap pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sepatutnya telah dikuasai. Kriteria-kriteria tahap penguasaan dikenalpasti dan penilaian menggunakan Ujian Rujukan Kriteria (CRT).
(g) 'Bench Marking'
'Bench Marking' merupakan satu proses pengukuran ke atas hasil, proses dan prestasi ke arah satu tahap peningkatan yang memuaskan tinggi. Penilaian dibuat secara berterusan sehinggalah pelajar sudah dapat mencapai satu tahap penguasaan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan dan keupayaannya. Tahap pencapaian boleh ditetapkan di peringkat sekolah, daerah, negeri ataupun negara.
(h) Ujian / Peperiksaan Secara On-Line
Ujian dan peperiksaan perlu untuk menentukan piawaian yang dibuat berdasarkan kepada hasilan pembelajaran yang terbaik. Peratusan pelajar yang dapat mencapai atau mengatasi piawaian yang ditetapkan memberi petunjuk kepada kualiti pembelajaran. Bagi memastikan kualiti pembelajaran sentiasa tinggi, pelajar digalakkan menduduki ujian penilaian apabila mereka sudah bersedia dan sudah menguasai hasil pembelajaran yang ditetapkan.
 


PENUTUP
Perlu ditegaskan bahawa apapun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat hasil yang diharapkan jika tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain, kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana teknologi, penyediaan latihan semula guru, penyediaan bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan pihak swasta, ibubapa dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.


ANNOUCEMENT~